Selasa, 9 Februari 2010

Ujian dan Perjuangan

Perjuangan memerlukan pengorbanan yang besar. Kejayaan tidak datang dengan begitu mudah, namun ia pasti akan kita perolehi dengan kekuatan. Apakah kekuatan itu? Perjuangan tidak berada dilingkungan keseronokan dan kegembiraan. Kepayahan demi kepayahan harus ditempuh dengan sabar. Perjuangan tidak hanya pada kata-kata, namun kata-kata tidak mampu lari dari perjuangan.

Kata-kata mampu merubah dunia. Sebagai contoh yang terbaik adalah Al-Quran. Al-Furqan ini bukan sahaja mampu mengubah masyarakat Arab, malah lebih daripada itu mampu mengubah dunia. Jalan kegelapan akan terbuka luas apabila disinari cahaya Ilahi. ‘Sampaikanlah walau satu ayat’, ungkapan ini sering didengari dari siri-siri pengajian seperti kuliah agama, khutbah jumaat dan sebagainya. Jangan takut untuk berkata yang benar walaupun ia pahit. Kata-kata ulama’ ini mampu memberi perangsang kuat untuk terus berada di medan ilmiah. Pengajian-pengajian ilmiah yang berkisar mengenai ilmu tauhid,fekah dan tasawuf seharusnya menjadi agenda utama dalam memastikan masyarakata terus berada pada jalannya yang lurus.

Tiada kata-kata yang keluar tanpa ujian. Ujian ini bukan hanya sekadar ujian fizikal, malah yang lebih berat adalah ujian nafsu. Kehidupan yang begitu beharga tidak akan muncul tanpa sejambak ujian. Ujian tidak dapat lari dari kesusahan. Begitu juga, apabila menempuh ujian peperiksaan wajib melalui fasa kegigihan belajar.

Ujian ini tidak akan mampu dilalui tanpa kesabaran dan ketabahan. Kesabaran dan ketabahan akan muncul apabila tali ikatan dengan Allah diikat rapi. Hablum minnallah adalah asas kekuatan. Perjuangan ini tidak akan mampu ditempuh tanpa kekuatan dan pertolongan daripada Allah s.w.t. Mohonlah pertolongan daripada Allah s.w.t dengan sabar dan solat. Apabila kita mendirikan solat, maka yakinlah bahawa Allah s.w.t tidak akan membiarkan hambanya berada bersendirian. Allah s.w.t bersama dengan orang yang sabar.

Pasakkan keyakinan dalam hati, teguhkan pengharapan, insyaallah keadaan akan berubah dari kepahitan kepada kemanisan, walaupun berada di dalam kesusahan. Kepahitan bukan untuk memusnah, tetapi merupakan penawar yang mujarab. Setiap manusia akan menempuh cabaran dan dugaan. Hanya mereka yang sabar dan solat sahaja akan berjaya menempuhinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan