Ahad, 25 Julai 2010

Kelebihan Menuntut Ilmu.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
“Ilmu lebih baik daripada harta kerana ia adalah warisan para nabi, manakala harta pula warisan Qarun dan Fir’aun. Ilmu boleh menjaga diri kamu, sedangkan harta, kamu yang menjaganya. Orang yang memiliki ilmu mempunyai ramai teman, sedangkan pemilik harta mempunyai ramai musuh. Ilmu pengetahuan itu akan bertambah jika diamalkan, sedangkan harta akan berkurangan jika dibelanjakan. Pemilik ilmu pengetahuan sentiasa dihormati, sedangkan pemilik harta akan dikenali sebagai si kedekut. Pemilik ilmu akan memberi syafaat, pemilik harta akan dihisab. Biarpun masa berlalu namun ilmu tidak lapuk ditelan zaman, tetapi harta itu semakin lama semakin usang, ilmu pengetahuan dapat menyinari hati, tetapi harta mengeraskan hati. Orang berilmu mengakui dirinya sebagai hamba Allah, sedangkan orang berharta mengakui dirinya pemilik.” – Saidina Ali KW.

Selasa, 13 Julai 2010

Keajaiban Air Zam-Zam..Subhanallah.

Telaga zamzam dalamnya 30 meter sahaja dan kedalaman air hanya 3.32 meter. Dapat bayangkan. Ada beberapa punca mata air di bawah 13 meter.

Ujian mengeluarkan air pada kelajuan 8000 liter/second selama tempoh 24 jam menunjukkan paras air surut dari paras 3.23 meter kepada 12.72 meter dan kemudian 13.39 meter selepas itu. Paras air kembali normal ke paras 3.9 meter selepas 11 minit.

Isnin, 12 Julai 2010

Adakah peramal sotong itu syirik??

Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah.

Menyekutukan Allah jelas dianggap syirik apatah lagi perbuatan mengaku diri sebagai tuhan. Lebih mengundang bahaya apabila golongan ini ada di dalam masyarakat sama ada diketuai orang Islam atau bukan Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka.” – (Surah al-Ma’idah, ayat 72)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” – (Surah an-Nisa’, ayat 48)

Dalam surah yang sama, ayat 116, Allah mengulangi kembali dosa besar syirik melalui firman-Nya yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.”

Dalam surah Luqman, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar.” – (Surah Luqman, ayat 13)

Penegasan bahaya syirik tidak terhenti setakat itu saja, malah ditegaskan lagi melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidakkah pernah aku nyatakan kepada kamu mengenai dosa yang paling besar? Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. Sahabat menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah. Sabda baginda: Syirik kepada Allah dan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Ketika itu Baginda bersandar dan kemudian baginda duduk. Sabda Baginda lagi: Perkataan yang palsu dan penyaksian yang palsu.”

Seorang sahabat bernama Abdullah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah? Jawab Baginda: “Engkau menjadi suatu yang lain sekutu bagi Allah sedangkan Dialah yang menjadikan kamu. Aku (Abdullah) berkata: Sesungguhnya ini suatu yang berat. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi dosa yang besar? Baginda menjawab: “Engkau membunuh anak kamu sendiri kerana takut fakir. Aku bertanya, kemudian apa lagi? Baginda menjawab: “Engkau berzina dengan isteri jiranmu sendiri.” – (Hadis riwayat Muslim)

Daripada Anas menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda mengenai dosa besar iaitu mensyirikkan Allah, menderhaka kedua ibu bapa, membunuh nyawa dan memberi penyaksian palsu. – (Hadis riwayat Muslim)

Hadis lain, daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW telah menasihatkan sahabat dan orang Islam supaya menjauhi tujuh perkara yang membinasakan hidup seseorang iaitu mensyirikkan Allah, melakukan perbuatan sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari daripada medan peperangan dan menuduh perempuan Mukmin suci melakukan zina. – (Hadis riwayat Muslim)

Jenis syirik

Syirik dibahagikan kepada dua iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata).

Syirik jali ialah syirik yang terang, nyata dan besar yang boleh menyebabkan seseorang itu dianggap jatuh ke tahap kufur. Syirik ini boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu:

  1. Menerusi i’tiqad seperti meragui atau menafikan kewujudan Allah. Justeru, mana-mana fahaman yang meragui dan menafikan kewujudan Allah seperti fahaman komunis dan ateis adalah jelas syirik.
  2. Menerusi perbuatan atau amalan tertentu seperti menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan bintang atau objek tertentu. Perbuatan memuja nasib dan meminta nombor ekor di kubur tertentu atas dakwaan kubur itu keramat juga adalah unsur syirik. Bahkan ulama menjelaskan perbuatan terlalu memuja dan mendewakan orang atau pemimpin tertentu juga adalah perbuatan syirik.-(adakah sama mempercayai tilikan seekor sotong?)
  3. Menerusi lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram dan mengaku keluar daripada agama Islam. Termasuk dalam kategori ini ialah perkataan yang boleh menyebabkan terbatal syahadah seseorang Muslim.

Syirik khafi ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik itu banyak berkaitan dengan perbuatan riak di dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Perkara itu jelas disebut dalam al-quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia melakukan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam ibadatnya.” – (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Maksud syirik di dalam beramal seperti dalam ayat itu ialah menunjuk-nunjuk ketika beramal atau riak di dalam beramal.

Rasulullah SAW dalam sabdanya pernah menasihatkan sahabat supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya oleh sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Maka Rasulullah menjawab, syirik kecil yang dimaksudkan ialah riak dalam beramal.

Allah menjelaskan bahaya syirik khafi dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi.” – (Surah az-Zumar, ayat 65)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Barang siapa yang mempersekutukan sesuatu dengan Allah (tidak ikhlas kepada-Nya dalam beramal), maka adalah dia seolah-olah telah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.” – (Surah al-Hajj, ayat 31)

Melihat kepada situasi hari ini, ternyata amalan mensyirikkan Allah sama ada syirik jali atau khafi berlaku secara sedar atau tidak. Walaupun daripada kalangan orang Islam tidak menyembah berhala, tetapi mereka terdedah kepada perbuatan syirik.

Kepercayaan kepada tempat keramat, keyakinan secara membuta tuli terhadap bomoh atau dukun, penggunaan tangkal dan azimat, kepercayaan kepada tilikan sotong, menyembah kemewahan dunia dan material, keyakinan rezeki seperti gaji dan upah datang daripada manusia dan bermacam lagi adalah antara amalan yang menjurus kepada syirik.

Gejala syirik khafi tidak kurang hebatnya dengan berleluasanya gejala riak, beramal untuk manusia, perasaan dengki, mengharap reda manusia, bermuka-muka, tidak ikhlas, menandakan amalan syirik memang menguasai hidup umat Islam kini.

Langkah mesti dilakukan bagi mengelakkan ia daripada terus membarah di dalam hidup manusia. Langkah seperti penerangan mengenai bahaya syirik menerusi seminar, ceramah, bengkel dan seumpamanya. Anggota masyarakat mesti didedahkan dengan bahaya syirik supaya mereka dapat membezakan apakah pekerjaan dan perkataan mereka selama ini mengandungi unsur syirik atau sebaliknya.

Waallu'alam. Selamat beristiqamah dalam beramal.

Ahad, 11 Julai 2010

Antara Percaya ataupun Tidak????

Ramai kalangan masyarakat pelik dan takjub(hairan) apabila memikirkan seekor sotong yang bernama Paul mampu menilik kemenangan antara perlawanan bola sepak piala dunia yang baru berakhir hari ini.
Paul si sotong peramal adalah seekor sotong yang dikatakan dapat meneka dengan tepat keputusan perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan, selalunya dalam perlawanan yang melibatkan pasukan Jerman. Sotong yang dipelihara dalam akuarium dilaporkan dapat menelek nasib pasukan bola sepak Jerman sebanyak 7 kali dan berkesudahan Jerman kalah kepada Sepanyol tetapi menang dengan Uruguay untuk memperoleh tempat ketiga.
Bak kata tajuk sebuah rancangan TV Malaysia, "Pelik tapi benar". Hampir kesemua perlawanan yang ditekanya benar belaka. Hal ini tentunya mengembirakan ahli judi. Tak perlu susah-susah untuk pergi ke bomoh, dukun, bertapa dikubur dan sebagainya. Hanya menunggu ramalan dari seekor sotong sahaja. Dengar seperti sedikit lucu kan?? Memang ia melucukan, tapi itulah antara peristiwa yang menjadi topik perbincangan utama antara peminat bola sepak seluruh dunia yang berlaku sepanjang tempoh perlawanan.

Paul menetas dari telurnya di Pusat Hidupan Laut Weymouth, England sebelum dipindahkan ke cawangannya di Oberhausen, Jerman.Nama Paul diambil sempena tajuk sebuah sajak oleh penulis buku kanak-kanak Jerman, Boy Lornsen: Der Tintenfisch Paul Oktopus. Menurut pengarah hiburan Pusat Hidupan Laut, Daniel Fey, Paul sudah pun menunjukkan kepintarannya sejak kecil lagi:

Terdapat sesuatu mengenai cara ia melihat para pengunjung kami semasa mereka datang melihat ke dalam tangkinya. Ia begitu luar biasa, jadi kami cuma mencari apa bakat semula jadinya.

Sotong ini diletakkan dalam sebuah akuarium. Di dalamnya ada dua kotak bendera iaitu bendera Jerman dan bendera pasukan lawan; kedua-dua kotak tersebut berisi makanan. Kotak pertama yang dipeluknya itu dikatakan mewakili pasukan yang diramalkan akan menang. Sebelum ini Paul juga pernah digunakan untuk meramal keputusan perlawanan bola sepak UEFA Euro 2008, di mana 4 daripada 6 ramalannya yang melibatkan pasukan Jerman adalah tepat. Rekod ketepatan 100% ramalan keputusan Piala Dunia 2010 menjadikan Paul seekor haiwan selebriti

Piala Dunia FIFA 2010

Paul setakat ini sudah pun meramal pemenang bagi tujuh perlawanan Piala Dunia FIFA 2010 yang melibatkan pasukan Jerman setakat ini, iaitu perlawanan menentang Australia, Serbia, Ghana, England, Argentina, Sepanyol dan Uruguay. Ramalannya yang mengatakan pasukan Argentina akan kalah menyebabkan chef berbangsa Argentina bernama Nicolas Bedorrou menjadi marah dan menghantar resepi masakan sotong kurita di laman Facebook.

Memang ramai orang yang mahu makan sotong kami tapi dia tidak malu dan kami berada di sini untuk menjaganya. Dia akan bertahan.

Oliver Walenciak (penjaga Paul)

Paul dengan tepat telah meramal keputusan peringkat separuh akhir, dengan meramalkan bahawa Sepanyol akan menang. Penyokong Jerman pada awalnya berharap agar ramalannya itu tidak tepat sebagai mana semasa perlawanan akhir UEFA Euro 2008 tetapi malang sekali mereka dikecewakan dengan ramalan yang tepat itu. Ramalan tersebut membawa kepada ugutan bunuh memandangkan ada di kalangan penyokong Jerman yang mahu Paul dimasak dan dimakan. Sebagai tindak balas, Perdana Menteri Sepanyol Jose Zapatero sambil bergurau menawarkan untuk menyediakan perlindungan rasmi buat Paul, manakala Menteri Industri Miguel Sebastian menawarkan kediaman yang selamat untuk Paul di Sepanyol.

Sebagai umat Islam,adakah kita diperbolehkan mempercayainya? Sudah tentu jawapannya tidak. Walau setepat mana sekalipun ramalan seekor sotong yang tidak berakal itu. Kita tidak boleh mempercayainya kerana kita meyakini bahawa tiada siapa yang mampu mengetahui masa hadapan kecuali Allah s.w.t sahaja. Termasuklah jin dan malaikat sekalipun kecuali yang dikhabarkan oleh Allah s.w.t.

Sekiranya mereka mempercayai sungguh-sungguh bahawa binatang itu mampu meramal. Maka kita termasuk orang yang tidak berakal kerana mempercayai binatang yang tidak berakal. Kemungkinan apa yang diramalnya itu adalah suatu kebetulan sahaja.

Kepercayaan seperti ini adalah syirik. Ia seperti kita mempercayai dukun,bomoh,tukang tilik dan sebagainya. Dalil akan saya bawa pada tulisan saya seterusnya. Selamat membaca dan beramal. Waallu'alam.

Khamis, 8 Julai 2010

Selamat Kembali Ke Bumi Tarbiah(ISDEV)

Assalamualaikum w.b.t,

Salam buat semua teman seperjuangan yang kembali ke bumi tarbiah ISDEV bagi meneruskan agenda dakwah dan tarbiah bagi memacu individu agar mampu menjadi da'ie dan pemimpin dalam masyarakat. Mereka tidak boleh dibiarkan tanpa ilmu. Masyarakat amat dahagakan ilmu pengetahuan. Sebagai kata-kata permulaan bagi memulakan pengajian dengan penuh keazaman yang tinggi. Maka saya teringat akan kata-kata ini,

" Tinggikanlah semangat dan keazamanmu seumpama bintang dilangit,rendahkanlah hatimu seumpama mutiara dilautan".

Perjuangan di bidang keilmuan ini tidak terletak hanya pada ilmunya sahaja. Malah kecerdikan akal dalam merancang juga menjadi punca kecemerlangan seseorang individu. Seorang ulama dan pendakwah yang terkenal iaitu Badi'uzaman Sa'id Nursi. Beliau pernah dituduh sebagai pembawa ajaran sesat, dituduh menjalankan gerakan anti-kerajaan dan lain-lain lagi tuduhan. Pemerintahan pada ketika itu ialah Kamal Attartuk yang membawa fahaman kamalisme. Fahaman ini ingin memasukan fahaman sekularisme dan menolak fahaman ke arah Islami sehingga jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniah pada tahun 1924. Untuk pengetahuan semua, kerajaan Uthmaniah telah memerintah dari tahun 1300 sehingga 1924.

Beliau adalah seorang tokoh islam yang terkenal dengan penulisan Risale-i Nur. Satu hasil penulisan yang penting sekaligus memberikan impak yang besar kepada sesiapa sahaja yang mengkajinya. Beliau dilahirkan dalam tahun 1877 di Nurs, sebuah kawasan di Tenggara Anatolia. Kemampuan beliau dalam menelaah sungguh menakjubkan sehingga pada umur 16 tahun, beliau sudah diberikan gelaran Bediuzzaman yang bermaksud Kekaguman Zaman.

Ini kerana beliau sudah mampu menewaskan ulama-ulama yang ada ketika itu dalam perbahasan-perbahasan yang diadakan. Dalam proses pembelajaran beliau, beliau telah mempelajari akan perlunya satu sistem pendidikan yang menyeluruh dibentuk di Turki menggantikan sistem pendidikan sedia ada. Pada 1900, kesedaran timbul dalam hatinya untuk memperjuangkan islam sepenuhnya kesan daripada parlimen british yang mengangkat al-Quran semasa persidangan, bersumpah menjauhkan umat islam daripada al-Quran. Beliau kemudian mengusulkannya kepada Sultan Abdul Hamid namun ia membawa kepada pemenjaraan beliau kerana penggunaan bahasa yang kasar semasa perjumpaan itu. Di mahkamah beliau sekali lagi bersikap sedemikian dan dihantar oleh para hakim ke pusat rawatan mental. Namun apa yang dikatakan oleh doktor yang menjalankan diagnosis bahwa jika Syed Nursi tidak siuman, maka tidak ada seorang pun yang siuman di dunia ini.


Pengajaran dan iktibar perlu diambil daripada kisah para cendiakawan dan ulama Islam. Ilmu digunakan bukan hanya untuk dirinya tetapi digunakan bagi memperjuangkan Islam.

"Ya Allah, kuatkanlah keazaman dan semangat kami semua warga Isdev dan seluruh umat Islam dalam menuntut ilmu. Lapangkanlah hati kami dan bersihkanlah agar nur ilmu mudah terpahat di hati kami."


Aminn...