Khamis, 8 Julai 2010

Selamat Kembali Ke Bumi Tarbiah(ISDEV)

Assalamualaikum w.b.t,

Salam buat semua teman seperjuangan yang kembali ke bumi tarbiah ISDEV bagi meneruskan agenda dakwah dan tarbiah bagi memacu individu agar mampu menjadi da'ie dan pemimpin dalam masyarakat. Mereka tidak boleh dibiarkan tanpa ilmu. Masyarakat amat dahagakan ilmu pengetahuan. Sebagai kata-kata permulaan bagi memulakan pengajian dengan penuh keazaman yang tinggi. Maka saya teringat akan kata-kata ini,

" Tinggikanlah semangat dan keazamanmu seumpama bintang dilangit,rendahkanlah hatimu seumpama mutiara dilautan".

Perjuangan di bidang keilmuan ini tidak terletak hanya pada ilmunya sahaja. Malah kecerdikan akal dalam merancang juga menjadi punca kecemerlangan seseorang individu. Seorang ulama dan pendakwah yang terkenal iaitu Badi'uzaman Sa'id Nursi. Beliau pernah dituduh sebagai pembawa ajaran sesat, dituduh menjalankan gerakan anti-kerajaan dan lain-lain lagi tuduhan. Pemerintahan pada ketika itu ialah Kamal Attartuk yang membawa fahaman kamalisme. Fahaman ini ingin memasukan fahaman sekularisme dan menolak fahaman ke arah Islami sehingga jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniah pada tahun 1924. Untuk pengetahuan semua, kerajaan Uthmaniah telah memerintah dari tahun 1300 sehingga 1924.

Beliau adalah seorang tokoh islam yang terkenal dengan penulisan Risale-i Nur. Satu hasil penulisan yang penting sekaligus memberikan impak yang besar kepada sesiapa sahaja yang mengkajinya. Beliau dilahirkan dalam tahun 1877 di Nurs, sebuah kawasan di Tenggara Anatolia. Kemampuan beliau dalam menelaah sungguh menakjubkan sehingga pada umur 16 tahun, beliau sudah diberikan gelaran Bediuzzaman yang bermaksud Kekaguman Zaman.

Ini kerana beliau sudah mampu menewaskan ulama-ulama yang ada ketika itu dalam perbahasan-perbahasan yang diadakan. Dalam proses pembelajaran beliau, beliau telah mempelajari akan perlunya satu sistem pendidikan yang menyeluruh dibentuk di Turki menggantikan sistem pendidikan sedia ada. Pada 1900, kesedaran timbul dalam hatinya untuk memperjuangkan islam sepenuhnya kesan daripada parlimen british yang mengangkat al-Quran semasa persidangan, bersumpah menjauhkan umat islam daripada al-Quran. Beliau kemudian mengusulkannya kepada Sultan Abdul Hamid namun ia membawa kepada pemenjaraan beliau kerana penggunaan bahasa yang kasar semasa perjumpaan itu. Di mahkamah beliau sekali lagi bersikap sedemikian dan dihantar oleh para hakim ke pusat rawatan mental. Namun apa yang dikatakan oleh doktor yang menjalankan diagnosis bahwa jika Syed Nursi tidak siuman, maka tidak ada seorang pun yang siuman di dunia ini.


Pengajaran dan iktibar perlu diambil daripada kisah para cendiakawan dan ulama Islam. Ilmu digunakan bukan hanya untuk dirinya tetapi digunakan bagi memperjuangkan Islam.

"Ya Allah, kuatkanlah keazaman dan semangat kami semua warga Isdev dan seluruh umat Islam dalam menuntut ilmu. Lapangkanlah hati kami dan bersihkanlah agar nur ilmu mudah terpahat di hati kami."


Aminn...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan