Ahad, 25 Julai 2010

Kelebihan Menuntut Ilmu.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
“Ilmu lebih baik daripada harta kerana ia adalah warisan para nabi, manakala harta pula warisan Qarun dan Fir’aun. Ilmu boleh menjaga diri kamu, sedangkan harta, kamu yang menjaganya. Orang yang memiliki ilmu mempunyai ramai teman, sedangkan pemilik harta mempunyai ramai musuh. Ilmu pengetahuan itu akan bertambah jika diamalkan, sedangkan harta akan berkurangan jika dibelanjakan. Pemilik ilmu pengetahuan sentiasa dihormati, sedangkan pemilik harta akan dikenali sebagai si kedekut. Pemilik ilmu akan memberi syafaat, pemilik harta akan dihisab. Biarpun masa berlalu namun ilmu tidak lapuk ditelan zaman, tetapi harta itu semakin lama semakin usang, ilmu pengetahuan dapat menyinari hati, tetapi harta mengeraskan hati. Orang berilmu mengakui dirinya sebagai hamba Allah, sedangkan orang berharta mengakui dirinya pemilik.” – Saidina Ali KW.

Selasa, 13 Julai 2010

Keajaiban Air Zam-Zam..Subhanallah.

Telaga zamzam dalamnya 30 meter sahaja dan kedalaman air hanya 3.32 meter. Dapat bayangkan. Ada beberapa punca mata air di bawah 13 meter.

Ujian mengeluarkan air pada kelajuan 8000 liter/second selama tempoh 24 jam menunjukkan paras air surut dari paras 3.23 meter kepada 12.72 meter dan kemudian 13.39 meter selepas itu. Paras air kembali normal ke paras 3.9 meter selepas 11 minit.

Isnin, 12 Julai 2010

Adakah peramal sotong itu syirik??

Syirik adalah perbuatan menyekutukan Allah dalam apa juga bentuk sama ada perkataan, pegangan, perbuatan dan iktiqad iaitu dengan menjadikan suatu yang lain iaitu makhluk bernyawa atau tidak sekutu bagi Allah.

Menyekutukan Allah jelas dianggap syirik apatah lagi perbuatan mengaku diri sebagai tuhan. Lebih mengundang bahaya apabila golongan ini ada di dalam masyarakat sama ada diketuai orang Islam atau bukan Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Bahawasanya, sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah ke neraka.” – (Surah al-Ma’idah, ayat 72)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar.” – (Surah an-Nisa’, ayat 48)

Dalam surah yang sama, ayat 116, Allah mengulangi kembali dosa besar syirik melalui firman-Nya yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa seseorang yang syirik kepadanya dan Allah akan mengampunkan kepada sesiapa yang Dia kehendaki iaitu selain dari dosa syirik. Barang siapa yang mempersekutukan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya.”

Dalam surah Luqman, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syirik itu adalah satu kezaliman yang amat besar.” – (Surah Luqman, ayat 13)

Penegasan bahaya syirik tidak terhenti setakat itu saja, malah ditegaskan lagi melalui sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidakkah pernah aku nyatakan kepada kamu mengenai dosa yang paling besar? Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali. Sahabat menjawab: Sudah tentu wahai Rasulullah. Sabda baginda: Syirik kepada Allah dan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Ketika itu Baginda bersandar dan kemudian baginda duduk. Sabda Baginda lagi: Perkataan yang palsu dan penyaksian yang palsu.”

Seorang sahabat bernama Abdullah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah dosa yang paling besar di sisi Allah? Jawab Baginda: “Engkau menjadi suatu yang lain sekutu bagi Allah sedangkan Dialah yang menjadikan kamu. Aku (Abdullah) berkata: Sesungguhnya ini suatu yang berat. Aku bertanya lagi: Kemudian apa lagi dosa yang besar? Baginda menjawab: “Engkau membunuh anak kamu sendiri kerana takut fakir. Aku bertanya, kemudian apa lagi? Baginda menjawab: “Engkau berzina dengan isteri jiranmu sendiri.” – (Hadis riwayat Muslim)

Daripada Anas menyebut bahawa Rasulullah SAW bersabda mengenai dosa besar iaitu mensyirikkan Allah, menderhaka kedua ibu bapa, membunuh nyawa dan memberi penyaksian palsu. – (Hadis riwayat Muslim)

Hadis lain, daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW telah menasihatkan sahabat dan orang Islam supaya menjauhi tujuh perkara yang membinasakan hidup seseorang iaitu mensyirikkan Allah, melakukan perbuatan sihir, membunuh nyawa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari daripada medan peperangan dan menuduh perempuan Mukmin suci melakukan zina. – (Hadis riwayat Muslim)

Jenis syirik

Syirik dibahagikan kepada dua iaitu syirik khafi (tersembunyi) dan syirik jali (terang dan nyata).

Syirik jali ialah syirik yang terang, nyata dan besar yang boleh menyebabkan seseorang itu dianggap jatuh ke tahap kufur. Syirik ini boleh berlaku melalui salah satu daripada tiga keadaan iaitu:

  1. Menerusi i’tiqad seperti meragui atau menafikan kewujudan Allah. Justeru, mana-mana fahaman yang meragui dan menafikan kewujudan Allah seperti fahaman komunis dan ateis adalah jelas syirik.
  2. Menerusi perbuatan atau amalan tertentu seperti menyembah patung, berhala, batu, pokok, matahari, bulan bintang atau objek tertentu. Perbuatan memuja nasib dan meminta nombor ekor di kubur tertentu atas dakwaan kubur itu keramat juga adalah unsur syirik. Bahkan ulama menjelaskan perbuatan terlalu memuja dan mendewakan orang atau pemimpin tertentu juga adalah perbuatan syirik.-(adakah sama mempercayai tilikan seekor sotong?)
  3. Menerusi lidah atau perkataan seperti menghalalkan perkara haram dan mengaku keluar daripada agama Islam. Termasuk dalam kategori ini ialah perkataan yang boleh menyebabkan terbatal syahadah seseorang Muslim.

Syirik khafi ialah syirik yang kecil dan tersembunyi yang menyebabkan hilang atau luputnya pahala seseorang. Syirik itu banyak berkaitan dengan perbuatan riak di dalam beramal atau melakukan sesuatu perkara.

Perkara itu jelas disebut dalam al-quran melalui firman Allah yang bermaksud: “Barang siapa yang berharap untuk bertemu dengan Allah (di hari akhirat kelak), maka hendaklah dia melakukan amal salih dan janganlah dia mempersekutukan Allah dengan sesuatu di dalam ibadatnya.” – (Surah al-Kahfi, ayat 110)

Maksud syirik di dalam beramal seperti dalam ayat itu ialah menunjuk-nunjuk ketika beramal atau riak di dalam beramal.

Rasulullah SAW dalam sabdanya pernah menasihatkan sahabat supaya berhati-hati dan menjauhi syirik kecil, lantas ditanya oleh sahabat apakah yang dimaksudkan dengan syirik kecil itu. Maka Rasulullah menjawab, syirik kecil yang dimaksudkan ialah riak dalam beramal.

Allah menjelaskan bahaya syirik khafi dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada nabi-nabi terdahulu sebelummu, jika kamu mempersekutukan Tuhan, nescaya akan terhapuslah segala amalanmu dan tentulah kamu termasuk di kalangan orang yang rugi.” – (Surah az-Zumar, ayat 65)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Barang siapa yang mempersekutukan sesuatu dengan Allah (tidak ikhlas kepada-Nya dalam beramal), maka adalah dia seolah-olah telah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.” – (Surah al-Hajj, ayat 31)

Melihat kepada situasi hari ini, ternyata amalan mensyirikkan Allah sama ada syirik jali atau khafi berlaku secara sedar atau tidak. Walaupun daripada kalangan orang Islam tidak menyembah berhala, tetapi mereka terdedah kepada perbuatan syirik.

Kepercayaan kepada tempat keramat, keyakinan secara membuta tuli terhadap bomoh atau dukun, penggunaan tangkal dan azimat, kepercayaan kepada tilikan sotong, menyembah kemewahan dunia dan material, keyakinan rezeki seperti gaji dan upah datang daripada manusia dan bermacam lagi adalah antara amalan yang menjurus kepada syirik.

Gejala syirik khafi tidak kurang hebatnya dengan berleluasanya gejala riak, beramal untuk manusia, perasaan dengki, mengharap reda manusia, bermuka-muka, tidak ikhlas, menandakan amalan syirik memang menguasai hidup umat Islam kini.

Langkah mesti dilakukan bagi mengelakkan ia daripada terus membarah di dalam hidup manusia. Langkah seperti penerangan mengenai bahaya syirik menerusi seminar, ceramah, bengkel dan seumpamanya. Anggota masyarakat mesti didedahkan dengan bahaya syirik supaya mereka dapat membezakan apakah pekerjaan dan perkataan mereka selama ini mengandungi unsur syirik atau sebaliknya.

Waallu'alam. Selamat beristiqamah dalam beramal.

Ahad, 11 Julai 2010

Antara Percaya ataupun Tidak????

Ramai kalangan masyarakat pelik dan takjub(hairan) apabila memikirkan seekor sotong yang bernama Paul mampu menilik kemenangan antara perlawanan bola sepak piala dunia yang baru berakhir hari ini.
Paul si sotong peramal adalah seekor sotong yang dikatakan dapat meneka dengan tepat keputusan perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2010 di Afrika Selatan, selalunya dalam perlawanan yang melibatkan pasukan Jerman. Sotong yang dipelihara dalam akuarium dilaporkan dapat menelek nasib pasukan bola sepak Jerman sebanyak 7 kali dan berkesudahan Jerman kalah kepada Sepanyol tetapi menang dengan Uruguay untuk memperoleh tempat ketiga.
Bak kata tajuk sebuah rancangan TV Malaysia, "Pelik tapi benar". Hampir kesemua perlawanan yang ditekanya benar belaka. Hal ini tentunya mengembirakan ahli judi. Tak perlu susah-susah untuk pergi ke bomoh, dukun, bertapa dikubur dan sebagainya. Hanya menunggu ramalan dari seekor sotong sahaja. Dengar seperti sedikit lucu kan?? Memang ia melucukan, tapi itulah antara peristiwa yang menjadi topik perbincangan utama antara peminat bola sepak seluruh dunia yang berlaku sepanjang tempoh perlawanan.

Paul menetas dari telurnya di Pusat Hidupan Laut Weymouth, England sebelum dipindahkan ke cawangannya di Oberhausen, Jerman.Nama Paul diambil sempena tajuk sebuah sajak oleh penulis buku kanak-kanak Jerman, Boy Lornsen: Der Tintenfisch Paul Oktopus. Menurut pengarah hiburan Pusat Hidupan Laut, Daniel Fey, Paul sudah pun menunjukkan kepintarannya sejak kecil lagi:

Terdapat sesuatu mengenai cara ia melihat para pengunjung kami semasa mereka datang melihat ke dalam tangkinya. Ia begitu luar biasa, jadi kami cuma mencari apa bakat semula jadinya.

Sotong ini diletakkan dalam sebuah akuarium. Di dalamnya ada dua kotak bendera iaitu bendera Jerman dan bendera pasukan lawan; kedua-dua kotak tersebut berisi makanan. Kotak pertama yang dipeluknya itu dikatakan mewakili pasukan yang diramalkan akan menang. Sebelum ini Paul juga pernah digunakan untuk meramal keputusan perlawanan bola sepak UEFA Euro 2008, di mana 4 daripada 6 ramalannya yang melibatkan pasukan Jerman adalah tepat. Rekod ketepatan 100% ramalan keputusan Piala Dunia 2010 menjadikan Paul seekor haiwan selebriti

Piala Dunia FIFA 2010

Paul setakat ini sudah pun meramal pemenang bagi tujuh perlawanan Piala Dunia FIFA 2010 yang melibatkan pasukan Jerman setakat ini, iaitu perlawanan menentang Australia, Serbia, Ghana, England, Argentina, Sepanyol dan Uruguay. Ramalannya yang mengatakan pasukan Argentina akan kalah menyebabkan chef berbangsa Argentina bernama Nicolas Bedorrou menjadi marah dan menghantar resepi masakan sotong kurita di laman Facebook.

Memang ramai orang yang mahu makan sotong kami tapi dia tidak malu dan kami berada di sini untuk menjaganya. Dia akan bertahan.

Oliver Walenciak (penjaga Paul)

Paul dengan tepat telah meramal keputusan peringkat separuh akhir, dengan meramalkan bahawa Sepanyol akan menang. Penyokong Jerman pada awalnya berharap agar ramalannya itu tidak tepat sebagai mana semasa perlawanan akhir UEFA Euro 2008 tetapi malang sekali mereka dikecewakan dengan ramalan yang tepat itu. Ramalan tersebut membawa kepada ugutan bunuh memandangkan ada di kalangan penyokong Jerman yang mahu Paul dimasak dan dimakan. Sebagai tindak balas, Perdana Menteri Sepanyol Jose Zapatero sambil bergurau menawarkan untuk menyediakan perlindungan rasmi buat Paul, manakala Menteri Industri Miguel Sebastian menawarkan kediaman yang selamat untuk Paul di Sepanyol.

Sebagai umat Islam,adakah kita diperbolehkan mempercayainya? Sudah tentu jawapannya tidak. Walau setepat mana sekalipun ramalan seekor sotong yang tidak berakal itu. Kita tidak boleh mempercayainya kerana kita meyakini bahawa tiada siapa yang mampu mengetahui masa hadapan kecuali Allah s.w.t sahaja. Termasuklah jin dan malaikat sekalipun kecuali yang dikhabarkan oleh Allah s.w.t.

Sekiranya mereka mempercayai sungguh-sungguh bahawa binatang itu mampu meramal. Maka kita termasuk orang yang tidak berakal kerana mempercayai binatang yang tidak berakal. Kemungkinan apa yang diramalnya itu adalah suatu kebetulan sahaja.

Kepercayaan seperti ini adalah syirik. Ia seperti kita mempercayai dukun,bomoh,tukang tilik dan sebagainya. Dalil akan saya bawa pada tulisan saya seterusnya. Selamat membaca dan beramal. Waallu'alam.

Khamis, 8 Julai 2010

Selamat Kembali Ke Bumi Tarbiah(ISDEV)

Assalamualaikum w.b.t,

Salam buat semua teman seperjuangan yang kembali ke bumi tarbiah ISDEV bagi meneruskan agenda dakwah dan tarbiah bagi memacu individu agar mampu menjadi da'ie dan pemimpin dalam masyarakat. Mereka tidak boleh dibiarkan tanpa ilmu. Masyarakat amat dahagakan ilmu pengetahuan. Sebagai kata-kata permulaan bagi memulakan pengajian dengan penuh keazaman yang tinggi. Maka saya teringat akan kata-kata ini,

" Tinggikanlah semangat dan keazamanmu seumpama bintang dilangit,rendahkanlah hatimu seumpama mutiara dilautan".

Perjuangan di bidang keilmuan ini tidak terletak hanya pada ilmunya sahaja. Malah kecerdikan akal dalam merancang juga menjadi punca kecemerlangan seseorang individu. Seorang ulama dan pendakwah yang terkenal iaitu Badi'uzaman Sa'id Nursi. Beliau pernah dituduh sebagai pembawa ajaran sesat, dituduh menjalankan gerakan anti-kerajaan dan lain-lain lagi tuduhan. Pemerintahan pada ketika itu ialah Kamal Attartuk yang membawa fahaman kamalisme. Fahaman ini ingin memasukan fahaman sekularisme dan menolak fahaman ke arah Islami sehingga jatuhnya kerajaan Turki Uthmaniah pada tahun 1924. Untuk pengetahuan semua, kerajaan Uthmaniah telah memerintah dari tahun 1300 sehingga 1924.

Beliau adalah seorang tokoh islam yang terkenal dengan penulisan Risale-i Nur. Satu hasil penulisan yang penting sekaligus memberikan impak yang besar kepada sesiapa sahaja yang mengkajinya. Beliau dilahirkan dalam tahun 1877 di Nurs, sebuah kawasan di Tenggara Anatolia. Kemampuan beliau dalam menelaah sungguh menakjubkan sehingga pada umur 16 tahun, beliau sudah diberikan gelaran Bediuzzaman yang bermaksud Kekaguman Zaman.

Ini kerana beliau sudah mampu menewaskan ulama-ulama yang ada ketika itu dalam perbahasan-perbahasan yang diadakan. Dalam proses pembelajaran beliau, beliau telah mempelajari akan perlunya satu sistem pendidikan yang menyeluruh dibentuk di Turki menggantikan sistem pendidikan sedia ada. Pada 1900, kesedaran timbul dalam hatinya untuk memperjuangkan islam sepenuhnya kesan daripada parlimen british yang mengangkat al-Quran semasa persidangan, bersumpah menjauhkan umat islam daripada al-Quran. Beliau kemudian mengusulkannya kepada Sultan Abdul Hamid namun ia membawa kepada pemenjaraan beliau kerana penggunaan bahasa yang kasar semasa perjumpaan itu. Di mahkamah beliau sekali lagi bersikap sedemikian dan dihantar oleh para hakim ke pusat rawatan mental. Namun apa yang dikatakan oleh doktor yang menjalankan diagnosis bahwa jika Syed Nursi tidak siuman, maka tidak ada seorang pun yang siuman di dunia ini.


Pengajaran dan iktibar perlu diambil daripada kisah para cendiakawan dan ulama Islam. Ilmu digunakan bukan hanya untuk dirinya tetapi digunakan bagi memperjuangkan Islam.

"Ya Allah, kuatkanlah keazaman dan semangat kami semua warga Isdev dan seluruh umat Islam dalam menuntut ilmu. Lapangkanlah hati kami dan bersihkanlah agar nur ilmu mudah terpahat di hati kami."


Aminn...



Jumaat, 12 Februari 2010

Imam Asy-Syafie

Riwayat Hidup
a. Nama sebenarnya ialah Abu Abdullah Muhammad bin Idris.
b. Beliau digelar "As-Syafie" sempena nama datuknya, Syafie bin Saib.
c. Imam Al-Syafie dilahirkan pada tahun 150 Hijrah bersamaan dengan 767
Masihi di Ghazzah, Palestin.
d. Beliau berasal dari keturunan Rasulullah s.a.w. pada sebelah datuknya,
Abdul Manaf (datuk ketiga Nabi Muhammad s.a.w. adalah datuk kesembilan
e. Imam as-Syafie adalah seorang imam mazhab yang empat, iaitu pengasas "Mazhab
Syafie".
f. Imam as-Syafie meninggal dunia pada tahun 204 Hijrah bersamaan dengan 820
Masihi ketika berusia 54 tahun dan dikebumikan di Arafah, Mesir.

Peribadi
a. Imam as-Syafie seorang yang berpandangan jauh, berhati mulia dan bercita-cita
tinggi.
b. Beliau berusaha dengan gigih dalam menuntut ilmu pengetahuan.
c. Beliau bersikap sederhana dalam semua segi, sama ada dalam tingkah laku,
berpakaian atau cara makan.
d. Beliau juga merupakan seorang yang bijak berbicara hinggakan dirinya
terlepas daripada hukuman pancung.
e. Beliau sangat menghormati dan memuliakan para guru yang mengajarnya.
f. Beliau sangat cinta kepada ilmu pengetahuan. Usia remajanya dihabiskan
dengan menuntut ilmu pengetahuan yang memberi manafaat.
g. Imam as-Syafie mempunyai ilmu pengetahuan yang luas dalam
berbagai-bagai bidang.
h. Imam as-Syafie seorang hartawan yang sangat pemurah. Beliau sentiasa
menolong orang yang memerlukan bantuan.

Pendidikan
a. Imam as-Syafie rahimahullah mempunyai ketajaman akal fikiran yang luar
biasa sejak kanak-kanak lagi. Ketika berusia sembilan tahun,beliau hafaz
Al-Quran.
b. Diwaktu berumur dua belas tahun, beliau telah dapat menghafaz kitab Al-Muattok,
karangan Imam Malik dan seterusnya berguru dengan Imam Malik ketika berusia dua
puluh tahun.
c. Imam as-Syafie belajar dan mendalami bahasa dan kesusasteraan Arab
sehingga mahir dalam bidang penulisan.
d. Beliau menghabiskan usia remajanya dengan menghadiri kelas-kelas pengajian
agama di Masjidil Haram.
e. Imam as-Syafie bermusafir ke Makkah, Madinah, Yaman, Iraq dan negara-negara
lain dengan tujuan untuk menuntut ilmu. Antara ilmu-ilmu yang dipelajarinya
termasuklah ilmu hadis, ilmu fikah dan Al-Quran.
f. Imam as-Syafie sangat mengutamakan pengetahuan dan disiplin. Beliau
membahagikan waktu malamnya kepada tiga bahagian:
i. 1/3 malam untuk berehat.
ii. 1/3 malam untuk menulis ilmu pengetahuan.
iii. 1/3 malam untuk beribadat.
g. Imam as-Syafie berusaha dengan gigih dalam menuntut ilmu. Akhirnya, beliau
muncul sebagai imam besar yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan dapat
memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada umat Islam.

Sumbangan
a. Imam as-Syafie adalah ulama mujtahidin yang berpegang kuat pada Al-Quran,
hadith, Ijmak Ulama, Qias dan Masolih Al-Mursalah.
b. Pendapat Imam as-Syafie diterima oleh sebahagian besar orang-orang Islam
kerana segala fatwanya sesuai dengan suasana, masyarakat dan adat resam sesuatu
kaum.
c. Antara kitab-kitab karangannya yang termashyur termasuklah bidang dalam usul
fikah; kitab yang membicarakan dengan jelas tentang cara mengambil hukum
daripada Al-Quran dan hadis.

Kitab-kitab tersebut ialah:
a.Abtal Al-Istihsan.
b.Ahkam Al-Quran.
c.Ar-Risalah.
d.Dalam bidang fikah; kitab yang membicarakan hukum-hukum fikah. Kitab
tersebut ialah;
i.Al-Mukhtasar Al-Kabir.
ii.Al-Mukhtasar as-Saghir.
iii.Al-Farid.
iv.Al-Umm.
e.Dalam bidang hadis; beliau telah menyusun sebuah kitab menjelaskan tentang
perselisihan hadis-hadis nabi. Kitab-kitab tersebut ialah;
i.Al-Masnad.
ii.Al-Amali.
iii.Ikhtilaf Al-Hadis.

f. Selain itu, beliau juga telah menghasilkan berbagai-bagai jenis kitab dalam
bidang ilmu tafsir, akhlak, ilmu falak, ilmu kedoktoran dan lain-lain yang memberi
sumbangan yang besar kepada ahli fikir Islam.
g.Mazhab as-Syafie berkembang dengan pesat di Afrika Utara, Mesir, Indo China,
Sri Lanka, Armenia, Kurdistan dan di Kepulauan Melayu,Indonesia, Singapura dan
Malaysia.

Steve McCurry

Lawatan ke Muzium Kesenian Islam telah menambahkan beberapa ilmu khususnya berkaitan dengan khazanah Islam. Bukan itu sahaja, malah kedatangan kami ke sana seperti melangkah kaki kanan apabila pameran mengenai Steve McCurry juga dipamerkan. Lawatan saya ke sana adalah untuk mengisi ruang waktu yang ada di samping menambah ilmu pengetahuan mengenai tamadun Islam.

Steve McCurry dikenali di seluruh dunia sebagai salah seorang jurugambar terbaik pada hari ini. Beliau telah memenangi pelbagai anugerah tertinggi bidang foto. Terkenal dengan fotografi berwarnanya yang menggamit perasaan, McCurry merakamkan pergelutan dan kebahagiaan manusia. Beliau mencari dan menemui pemandangan yang sukar dilupakan, kebanyakan dari hasil karyanya telah menjadi ikon zaman moden. Dilahirkan di Philadelphia, McCurry merupakan graduan Universiti Pennsylvania State. Selepas berkhidmat di sebuah akhbar selama dua tahun, beliau berhijrah ke India untuk bekerja sebagai jurugambar bebas. Di India, beliau belajar untuk memerhati kehidupan. Beliau mendapati bahawa, jika seseorang itu bersabar, orang di sekelilingnya akan mula melupakan lensa kamera lalu menampilkan diri mereka yang sebenar. McCurry didorong oleh sifat ingin tahu dan kagum terhadap dunia dan insan-insan di dalamnya. Beliau mempunyai kebolehan luarbiasa untuk menjangkaui batasan bahasa dan budaya demi merakamkan cerita pengalaman manusia.

Satu Pegangan: Pengembaraan Steve McCurry di Dunia Islam

Manusia menarik perhatian Steve McCurry. Biarpun pandangan beliau mengenai agama jarang diperkatakan tetapi kepercayaan yang sering mengiringi perjalanan beliau ialah Islam. McCurry jarang menonjolkan elemen agama dalam kehidupan seseorang Muslim., tetapi hakikatnya keseluruhan hidup mereka adalah berkisar tentang agama. Apa yang dapat dilihat dari karyanya merupakan luahan peribadatan secara tidak formal, seperti gambar seorang pembuat batu-bata yang sedang berdoa di tempat kerjanya yang berhabuk. Keadaan latar belakangnya bukanlah gambaran mengenai Islam seperti biasa, begitu juga dengan si pelaku.

Inilah beberapa teks mengenai beliau yang ditulis pada pamplet yang dibekalkan kepada saya sewaktu memasuki pintu masuk ke Muzium tersebut.

Selasa, 9 Februari 2010

USRAH DAN MATLAMATNYA

Usrah : Pengenalan, Tujuan dan Pelaksanaan, khas buat sahabat perjuangan di ISDEV.

Pengenalan

Usrah dalam bahasa Arab ialah keluarga.

Maksud perkataan usrah dalam pengertian kita ialah kumpulan Afradul Muslimin (individu-individu muslim) yang beriman dengan agama ini, berusaha tolong menolong antara satu dengan yang lain untuk memahami dan menghayati Islam.

Bilangan kehadiran adalah terhad diperingkat-peringkat tertentu, seperti peringkat Majlis Syura, ahli-ahli Jawatankuasa Utama, dan lujnah-lujnah.

Tempat Usrah

Usrah boleh diadakan di rumah anggota usrah dengan cara bergilir-gilir atau di masjid, di surau, di musalla atau sebagainya.

Tujuan Usrah

Majlis usrah mempunyai beberapa tujuan, di antaranya:

1. Meningkatkan kefahaman anggota-anggota dan menentukan sikap Islam terhadap satu-satu masalah.

2. Menambahkan penghayatan dan menimbulkan perasaan tanggungjawab terhadap ajaran Islam secara peribadi dan jama’ah.

3. Membina satu generasi Islam yang mengenali Islam sebagai "Din wa Daulah", menghayatinya di dalam kehidupan peribadi, menjadikan azam dan cita-cita serta tindakan mendawahkannya sebagai sistem hidup dalam keluarga, masyarakat dan negara.

4. Membina generasi Islam yang menegakkan akhlak Islamiyyah di dalam kehidupan diri dan sensitif terhadap segala perkara yang tidak Islamik.

5. Membina generasi Islam yang insaf dan sedar akan cabaran dan godaan yang berbagai bentuk yang mengancam kemurniaan Islam.

6. Mendidik perasaan anggota supaya bertanggungjawab terhadap Allah dan RasulNya.

7. Menghubungkan anggota secara langsung dengan Al-Quran dan Al-Sunnah.

8. Mengikhlaskan diri anggota kepada Allah, demi untuk mencari keredhaannnya, mengharapkan pahala dan merasa gerun dengan siksaanNya. Bukan kerana segan dengan naqib usrah atau kumpulannya tetapi kerana ketaatan kepada Allah. Oleh itu setiap anggota hendaklah membetulkan niatnya kemudian diikuti dengan amalan sekalipun tanpa arahan dari sesiapa.

9. Menggiatkan dan menyelaraskan usaha mempelajari dan memahami Islam di kalangan anggota.

10. Menyediakan tenaga yang benar-benar bersedia untuk Islam demi kepentingan gerakan Islam.

11. Memelihara organisasi dari dimasuki pemikiran yang keliru, sumbang dari musuh.

12. Memperkukuhkan perasaan bersaudara dan memupuk semangat bertindak secara jamaah.

Perlaksanaan

1. Usrah diadakan pada tiap-tiap minggu atau tiap-tiap dua minggu sekali dan merupakan program tarbiyyah yang tetap.

2. Majlis usrah dikendalikan oleh seorang naqib atau naqibah.

3. Sembahyang berjamaah, berwirid, membaca Al-Quran adalah rukun utama majlis usrah.

4. Sebaik-baiknya majlis usrah adalah mengikut cara di bawah ini:

    1. Bermula dengan sembahyang (maghrib) berjemaah.
    2. Berwirid dengan Al-Mathurat (1)
    3. Membahas dan mengkaji kertas-kertas kerja dan sebagainya, yang telah disediakan oleh naqib atau naqibah.

5. Majlis usrah mestilah mempunyai tajuk yang tertentu yang telah ditetapkan terlebih dahuludan dimaklumkan kepada anggota, sebaik-baiknya telah ditentukan bahan rujukan atau teksnya.

6. Sesudah berbincang dan berbahas dan bertukar-tukar fikiran dengan teliti, maka majlis mengambil satu keputusan atau rumusan yang menjadi pegangan kepada semua dan usrah ditegah sama sekali ditamatkan tanpa menghasilkan sesuatu persetujuan. Perbahasan boleh dilanjutkan kepada beberapa siri usrah sehingga dapat rumusan yang bulat dan konkrit, sekiranya tajuk perbahasan merupakan isu pokok dan memerlukan kepada pandangan pimpinan yang lebih tinggi, maka hendaklah dirujuk kepada peringkat yang lebih bertanggungjawab dalam jamaah.

7. Tajuk yang akan diusrahkan pada minggu akan datang ditentukan oleh naqib atau menurut ketetapan bersama atau menurut arahan pimpinan.

8. Sebahagian daripada waktu usrah hendaklah diperuntukkan khusus kepada organisasi dan hal ehwal semasa dan perkembangan perjuangan umat Islam di dalam dan luar negara.

9. Usrah dikehendaki bersurai disekitar jam 11 malam, sesudah membaca tasbih kaffarah dan suratul Al’’Ashr.

ADAB-ADAB USRAH

Di antara adab-adab usrah itu adalah seperti berikut:

1. Mengikhlaskan niat hanya kepada Allah

Maksudnya:

"Dan tidaklah mereka itu diperintahkan melainkan supaya semua menyembah Allah, dengan tulus ikhlas menjalankan agama untukNya semata-mata, berdiri lurus dan menegakkan solat serta menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang benar."

(Al-Bayyinah : 5)

Sabda Rasulullah s.a.w

Maksudnya:

"Hanya segala amal itu dengan niat dan hanya bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang dia niatkan."

(Muttafaq ‘alaih)

2. Meminta izin untuk masuk serta memberi salam sebelum memasuki rumah anggota atau tempat diadakan majlis usrah. Firman Allah Taala:

Maksudnya:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah engkau semua memasuki rumah yang bukan rumah-rumah mu sendiri, sehingga engkau semua meminta izin terlebih dahulu serta mengucapkan kepada ahlinya (orang yang ada di dalam)."

(An-Nur : 27)

3. Datang ke majlis tepat pada waktu yang dijanjikan atau ditetapkan.

Sabda Rasulullah s.a.w.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Tanda orang munafiq itu tiga, iaitu jikalau berkata dia berdusta, jikalau berjanji dia memungkiri dan jikalau di amanahkan dia khianat."

Ia menambah di dalam riwayat Muslim:

"Sekalipun dia berpuasa dan bersembahyang dan mengaku dirinya orang Islam."

(Muttafaq ‘alaih)

4. Datang ke majlis dalam keadaan berwuduk dan memakai pakaian yang sopan, bersih, suci serta sempurna.

Maksudnya :

Dari Abu Malik Al-Asy’ari r.a. katanya : "Rasulullah s.a.w. bersabda : "Bersuci itu separuh dari keimanan."

(Muslim)

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi :

Maksudnya :

"Dari Usman bin Affan r.a. katanya : "Rasulullah s.a.w. bersabda : "Barangsiapa yang berwuduk lalu memperbaguskan wuduknya (menyempurnakan sesempurna mungkin) maka keluarlah kesalahan-kesalahannya sehingga keluarganya itu sampai dari bawah kuku-kukunya : "

(Muslim)

Perkara ini diperlukan supaya :

    • Senang untuk mendirikan solat.
    • Memudahkan apabila memegang Al-Quran dan ayat-ayatnya dalam teks usrah.
    • Jauh dari gangguan syaitan… dapat berbincang tanpa dipengaruhinya.

5. Jika ada yang tidak dapat hadir kerana uzur syar’ie, hendaklah segera memberitahu kepada naqib atau naqibah sekurang-kurangnya kepada sahabat yang menjadi tuan rumah. Hal ini bertujuan untuk:

    • Melatih dari bertanggungjawab dalam setiap kerja.
    • Supaya naqib dan sahabat tidak tertunggu-tunggu.
    • Supaya dapat mengelakkan prasangka yang tidak baik.
    • Supaya makanan yang disediakan oleh tuan rumah tidak berlebihan.

6. Datang ke majlis dengan persiapan yang telah diamanahkan setelah kita sanggup untuk menunaikannya. Firman Allah s.w.t:

Maksudnya:

"Dan penuhilah perjanjian kerana sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya."

(Al-Isra’ : 34)

* * * * Dan hadith di dalam adab yang ke 3 * * * *

Perkara ini diperlukan adalah:

    • Supaya majlis usrah itu berjalan sebagaimana yang dirancang.
    • Berlatih menunaikan amanah yang kecil sebelum diberi amanah yang lebih besar.
    • Supaya menjadi pendorong dan contoh kepada sahabat yang kemudian.

Kegagalan kita berbuat demikian dibimbangkan akan menjadi alasan kepada sahabat yang lain untuk tidak membuat persiapan di masa akan datang.

7. Membawa dan menyediakan keperluan-keperluan yang diperlukan di dalam majlis usrah seperti Al-Quran, teks usrah, buku-buku catitan, Al-Mathurat (jika perlu) dan lain-lain yang diperlukan. Ini kerana;

    • Supaya majlis usrah berjalan dengan lancar.
    • Kegagalan berbuat demikian akan mengganggu sahabat yang dikongsi teksnya.

8. Datang ke majlis dengan hasrat untuk mengukuhkan ukhuwwah dan berkasih sayang kepada Allah.

Maksudnya:

"Dari Abu Hurairah r.a. katanya : "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah Taala berfirman pada hari Qiamat "Manakah orang-orang yang saling cinta mencintai kerana keagunganKu? Pada hari ini mereka itu akan Aku beri naungan pada hari tiada naungan melainkan naunganKu sendiri."

(Muslim)

9. Berazam untuk mendapatkan ilmu dan kefahaman bagi diamalkan dan disampaikan kepada orang lain… kecuali perkara yang rahsia.

Maksudnya:

"Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa yang menempuh suatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan baginya suatu jalan untuk menuju ke syurga."

(Muslim)

10. Duduk dengan bersopan santun

Kerana majlis itu adalah majlis zikrullah dan dihadiri sama ileh para Malaikat.

Maksudnya:

"Dan tunduklah sayapmu bersikap sopan santunlah terhadap orang mukminin."

(Al-Hijr : 88)

Sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:

"… dari Abu Hurairah r.a. dan Abu Said r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Tiada suatu kaum pun duduk-duduk sambil berzikir kepada Allah melainkan di kelilingi oleh para Malaikat dan ditutupi oleh kerahmatan serta turunlah kepada mereka itu ketenangan di dalam hati mereka dan Allah mengingatkan mereka kepada makhluk-makhluk yang ada di sisinya yakni di sebut-sebutkan hal ehwal mereka itu di kalangan para Malaikat."

11. Mendahului majlis dengan membaca Al-Fatihah dan berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Maksudnya :

"Dan daripada (Abu Hurairah) dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Tiada sesuatu kaum pun yang duduk di suatu majlis yang mereka itu tidak berzikir kepada Allah Taala dalam majlis tadi, juga tidak mengucapkan bacaan selawat kepada Nabi mereka di dalamnya, melainkan atas mereka itu ada kekurangannya. Jikalau Allah berkehendak, maka Allah akan menyiksa mereka dan jikalau Allah berkehendak, maka Allah akan mengampunkan mereka."

Diriwayatkan oleh Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa hadith ini adalah hadith hasan.

12. Mendengar segala penjelasan, bacaan-bacaan, arahan-arahan dan pengajaran dengan teliti dan tenang sambil cuba memahami, mencatit dan mengingati dengan tepat sebelum disampaikan kepada orang lain.

Maksudnya:

"Dari Abu Bakrah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir kerana sesungguhnya mudah-mudahan (diharapkan) orang yang disampaikan itu kepadanya lebih hafaz dan lebih faham dari yang menyampaikan."

(Bukhari dan Muslim)

13. Memohon penjelasan atau mengemukakan pertanyaan selepas diberi peluang atau setelah meminta izin naqib atau naqibah.

    • Supaya tidak mengganggu perjalanan majlis.
    • Supaya ada sikap menghormati naqib atau naqibah.

14. Jangan mencelah ketika naqib atau sahabat sedang memberi penerangan kecuali dalam perkara yang memerlukan teguran yang segera (seperti membetulkan bacaan yang silap). Ini adalah kerana :

    • Supaya tidak mengganggu perjalanan majlis.
    • Supaya tidak menghilangkan penumpuan anggota usrah yang lain.
    • Kadang-kadang naqib atau sahabat yang sedang bercakap akan kehilangan apa yang hendak disampaikan apabila dicelah ketika dia sedang bercakap.

15. Jangan mengangkat suara tinggi lebih dari keperluan pendengar. Ini adalah perkara yang dilarang oleh Allah Taala sebagaimana firmanNya :

Maksudnya :

"Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara kaldai. "

(Luqman : 19)

16. Jangan banyak ketawa kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu bersifat tenang dan serius.

Maksudnya:

"Dari Anas r.a. katanya: "Nabi s.a.w. mengucapkan sebuah khutbah yang saya tidak pernah mendengar suatu khutbah yang saya tidak pernah mendengar suatu khutbah pun seperti itu kerana amat menakutkan. Beliau s.a.w. bersabda: "Andaikata engkau semua dapat mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya engkau semua dapat mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya engkau semua akan sedikit ketawa dan banyak menangis."

Para sahabat Rasulullah s.a.w. lalu menutupi wajah masing-masing sambil terdengar suara esakkannya.

(Mutaffaq ‘alaih)

17. Jangan banyak bergurau, kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam semua perkara:

Ini adalah kerana:

    • Supaya hendaklah bergurau di dalam perkara yang benar sahaja.
    • Banyak bergurau akan menjadikan majlis usrah bertukar menjadi majlis jenaka, gurau senda atau gelak ketawa.
    • Banyak bergurau akan menjadikan majlis usrah kurang bermanfaat.

Maksudnya:

"Saya bergurau tetapi saya tidak berkata sesuatu kecuali kebenaran."

18. Jangan menghisap rokok di dalam tempat diadakan majlis usrah dan kalau ditinggalkan terus adalah terlebih baik.

    • Supaya tidak mengganggu sahabat-sahabat yang tidak merokok.
    • Supaya tidak mengganggu tuan rumah jika sekirnya ahli keluarga rumah itu sensitif dengan bau asap rokok.

19. Jangan mempersoalkan atau mempertikaikan arahan-arahan yang telah diberikan dengan jelas dan menepati syara’:

Maksudnya:

"Sesungguhnya binasa umat sebelum kamu kerana mereka banyak menyoal (yang tidak berfaedah) dan mereka suka menyalahi Nabi-nabi mereka."

(Mutaffaq ‘alaih)

20. Minta izin dari naqib sebelum keluar dari majlis kerana sesuatu keperluan. Ini adalah kerana.

    • Keluar dari majlis tanpa izin adalah perangai orang munafiq.

Maksudnya:

"Sesungguhnya yang benar-benar orang mu’min ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadamu (Muhammad), mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya, maka apabila mereka meminta izin kepadamu kerana sesuatu keperluan, berilah izin kepada sesiapa yang kamu kehendaki di antara mereka, dan mohonkanlah keampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."

(An-Nur : 62)

21. Jangan sekali-kali bertengkar kerana ia akan merenggangkan ukhuwwah : Sebabnya :

    • Sedangkan di antara matlamat usrah ialah untuk memupuk ukhuwwah.

Maksudnya:

"Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu.."

(Al-Hujuraat : 10)

Firman Allah Taala lagi:

Maksudnya:

"Dan taatilah kepada Allah dan RasulNya dan janganlah kamu berbantah-bantah yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar."

(Al-Anfaal : 46)

22. Sentiasa berusaha di dalam dan di luar majlis usrah untuk mengenali sahabat-sahabat satu usrah.

23. Akhiri majlis dengan membaca Tasbih Kaffarah dan surah Al-‘Ashr secara sedar dan memahami serta menghayati maknanya.

Maksudnya:

"Dari Abu Barzah r.a. katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda pada penghabisannya jikalau beliau s.a.w. hendak berdiri dari majlis yang ertinya: "Maha Suci Engkau ya Allah dan saya mengucapkan puji-pujian pada Mu. Saya menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Engkau, saya mohon ampun serta bertaubat padaMu."

Kemudian ada seorang lelaki berkata: "Ya Rasulullah! Sesungguhnya Tuhan mengucapkan sesuatu ucapan yang tidak pernah Tuan ucapkan sebelum ini. "Beliau s.a.w. bersabda: "Yang demikian itu adalah sebagai kaffarah (penebus) dari apa saja yakni kekurangan-kekurangan atau kesalahan-kesalahan – yang ada di dalam majlis itu."

Di riwayatkan oleh imam Abu Daud juga diriwayatkan oleh imam Hakim iaitu Abu Abdillah dalam kitab Al-Mustadrak dari riwayat Aisyah r.a. dan ia mengatakan bahawa hadith ini adalah shahih isnadnya.

24. Bersalam dan saling bermaaf-maafan selepas selesai majlis.

Maksudnya:

"… dan orang-orang yang menahan marahnya serta memaafkan (kesalahan) orang dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat demikian.

(Ali Imran : 134)

Firman Allah s.w.t. lagi:

Maksudnya:

"Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf serta berpaling dari orang-orang yang bodoh."

(Al-A’raaf : 199)

25. Terus pulang apabila selesai majlis kecuali ada keperluan yang penting. Ini adalah kerana:

    • Memberi peluang kepada tuan rumah untuk berkemas.
    • Mungkin tuan rumah letih dan hendak segera berehat atau dia ada urusan lain.

26. Merahsiakan setiap perbincangan, maklumat atau arahan yang telah diputuskan tentang sesuatu perkara itu sebagai rahsia atau setiap perkara yang dikirakan tidak patut untuk disebarkan.

Itulah di antaraadab-adab usrah yang patut menjadi amalan setiap naqib atau naqibah dan setiap anggota usrah supaya matlamat usrah akan tercapai, Insyaallah.

RUKUN-RUKUN USRAH

Usrah menjadi suatu kelaziman di dalam program tarbiyyah harakah kita ini. Ianya mestilah mempereratkan pertalian aqidah dan menanamkan cinta kepada perjuangan, menanggapkan kebenaran walau apa kesusahan yang dihadapi dan diterima oleh seorang mujahid. Rukun usrah itu ialah tiga perkara ianya mestilah diperkukuhkan, sekukuh-kukuhnya iaitu:

  1. Al-Ta’aruf iaitu berkenalan.
  2. Al-Tafahum iaitu bersefahaman
  3. Al-Takaaful iaitu saling bantu membantu.

Rukun Pertama:

Iaitu Al-Ta’aruf ertinya berkenalan secara paling mendalam yang menimbulkan kasih sayang dengan tujuan Al-Hubbufillah. Sebagaimana firman Allah Taala:

Maksudnya:

"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara…"

Dan Sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:

"Orang yang beriman dengan orang yang beriman yang lain laksana satu binaan, saling kuat-menguat di antara setengah dengan setengah yang lain."

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:

Maksudnya:

"Kami mengasihi saudara kerana dia adalah saudara pada jalan Allah."

Di samping itu sikap mahabbah mesti dibuktikan dalam amalan dan penghayatan bukan sekadar teori semata-mata.

Al-Ta’aruf iaitu kenal mengenal daripada bab mufa’alah (daripada dua belah pihak) Salbi dan i~jabi (memberi dan menerima). Kenal yang benar-benar, tahu selok-belok tentang saudara kita, supaya kita membuat dan bertindak untuk mengarah sesuatu yang sesuai dengannya.

Rukun Kedua – Al-Tafahum ertinya bersefahaman

Al-Tafahum daripada bab mufa’alah juga, adalah menjadi tujuan usrah iaitu supaya membuatkan satu sikap, satu tindakan hasil daripada sama-sama faham, sama-sama beramal iaitu sama-sama menjalankan perintah Allah, tunduk kepada kebenaran, muhasabah diri, muhasabah sama-sama jama’ah dan disusuli dengan nasihat menasihati di antara saudara, (Ad-Dinul Nasihah). Awas jangan sama sekali nasihat menasihati ini menimbulkan apa-apa perasaan yang tidak senang kepada salah satu daripada yang lain, baik yang memberi atau yang menerima, cuba renungkan hadith di atas.

Rukun Ketiga – Al-Takaaful iaitu saling bantu membantu atau jamin menjamin

Rukun ini merupakan dasar membela nasib sesama sendiri, supaya jangan ada orang yang terbiar atau terlantar nasibnya tidak terbela, maksud rukun ini ialah anggota usrah hendaklah mengambil berat masalah-masalah yang dihadapi oleh saudaranya. Takaaful ini merupakan pancaran pekerti yang dilahirkan daripada keimanan, dan merupakan intisari dari ukhuwwah yang murni. Cuba saudara-saudara teliti sabda Rasulullah s.a.w.:

Maksudnya:

"Sesungguhnya seseorang kamu pergi menunaikan sesuatu keperluan saudaranya lebih baik baginya daripada beriktikaf dimasjid aku ini selama sebulan."

Dan sabdanya lagi:

Maksudnya:

"Sesiapa yang telah memasukkan kegembiraan iaitu menghilangkan kesusahan dan kesukaran kepada keluarga muslim, maka Tuhan tidak melihat balasan kepadanya selain daripada syurga."

Ini gambaran besar atau kecilnya Al-Takaaful dalam Islam bagi rukun usrah ketiga.

TUGAS DAN KEWAJIPAN NAQIB DAN NAQIBAH USRAH

Naqib adalah bertanggungjawab menyempurnakan pencapaian anggota usrahnya kepada tiga-tiga tujuan asas di atas. Oleh yang demikian cubalah perhatikan arahan-arahan di bawah ini:

1. Pastikan anak buah saudara sekurang-kurangnya mempunyai sebuah Al-Quran dan terjemahannya dan memiliki kitab-kitab, buku-buku, nota-nota atau teks usrah dan pastikan mereka boleh membaca Al-Quran dengan betul.

2. Sistem muhasabah anak-anak buah dengan cara terbuka dihadapan Jamaah atau fardi amatlah perlu. Gunakan kebijaksanaan saudara dengan mengambil kira ( ) iaitu thap demi tahap.

3. Sekiranya majlis usrah perlukan makan minum, pastikan makan minum yang disediakan akan benar-benar ala kadar. Awasilah supaya majlis usrah tidak menjadi majlis jamu selera.

4. Kesempurnaan beribadat seperti sembahyang, puasa, zakat dan ibadat-ibadat nawafil semuanya menjadi tuntutan pertama jamaah kita. Pastikan anak buah anda benar-benar mengerti dan mengamalinya. Anjurkan sekali sekala ibadat nawafil jama’i seperti qiamuallail, puasa zakat harta dan lain-lain.

5. Mana-mana jamaah ada kelemahannya, gunakan kebijaksanaan dalam memilih tajuk usrah supaya dapat mengubati kelemahan yang wujud dalam diri anak buah anda dengan memilih tajuk yang sesuai dengan suasana anak buah anda, contohnya sekiranya usrah anda lemah dalam ikatan persaudaraan atau tidak cukup mesra maka jadikan tajuk usrah persaudaraan dan tuntutannya dalam Islam, dan sekiranya ada kelemahan dalam istiqamah maka jadikan tajuk usrah istiqamah dalam Islam, begitulah seterusnya.

6. Adalah menjadi tugas utama saudara mencungkil bakat-bakat yang terpendam dalam organisasi kita, mereka mempunyai kebolehan di dalam menulis kertas kerja dan mengajar, ceramah dan lain-lainnya mestilah diasah bakatnya di dalam usrah.

7. Anda mestilah mengalakkan anak buah anda membaca buku-buku ilmiah, pengetahuan termasuklah majalah-majalah, surat khabar, kertas kerja, kajian ilmiah dan lain-lainnya. Tugaskan mereka membuat ringkasan dalam usrah, khususnya buku-buku keluaran jamaah kita termasuklah kaset-kaset rakaman syarahan pimpinan parti.

8. Anggota usrah yang sedia ada hendaklah ditugaskan mengadakan kelompok-kelompok usrah yang baru, mereka ditugaskan memimpinnya. Anda hendaklah menjadi penyelia kepada kelompok-kelompok baru itu.

9. Di peringkat permulaan dinasihatkan supaya setiap usrah mempunyai kitab atau teks yang tertentu. Sekiranya perlu, jamaah hendaklah membeli kitab-kitab rujukan tersebut.

10. Usahakan sedaya upaya usrah mempunyai tabung, setiap kali berusrah hendaklah dipungut derma walaupun kadar yang paling sedikit.

11. Sekali sekala anjurkan perkelahan di tempat-tempat yang difikirkan munasabah seperti di tepi pantai di sungai, di pedalaman dan ziarah tempat-tempat bersejarah atau tokoh-tokoh jamaah kita khususnya ulamak-ulamak. Jadikan muhasabah ini suatu peluang mengenali rakan seperjuangan saudara dari dekat.

12. Adalah amat berguna sekiranya naqib mempunyai nota atau diari, khususnya mengenai anggota usrah. Diari ini mengandungi maklumat-maklumat yang membolehkan ketua saudara mengenali rakan-rakan seperjuangan saudara dan mengetahui kebolehan, keistimewaan kedudukan serta iltizam usrah saudara.

13. Naqib bertanggungjawab mengembang dan mengikuti perkembangan kemajuan saksiyyah anggota usrah.

Adab ( ) mestilah dijaga jangan sama sekali berlaku jadar (berbalah) dan perbincangan yang tidak berguna sehingga terkeluar daripada adab seperti mengeluarkan suara nyaring.

Ujian dan Perjuangan

Perjuangan memerlukan pengorbanan yang besar. Kejayaan tidak datang dengan begitu mudah, namun ia pasti akan kita perolehi dengan kekuatan. Apakah kekuatan itu? Perjuangan tidak berada dilingkungan keseronokan dan kegembiraan. Kepayahan demi kepayahan harus ditempuh dengan sabar. Perjuangan tidak hanya pada kata-kata, namun kata-kata tidak mampu lari dari perjuangan.

Kata-kata mampu merubah dunia. Sebagai contoh yang terbaik adalah Al-Quran. Al-Furqan ini bukan sahaja mampu mengubah masyarakat Arab, malah lebih daripada itu mampu mengubah dunia. Jalan kegelapan akan terbuka luas apabila disinari cahaya Ilahi. ‘Sampaikanlah walau satu ayat’, ungkapan ini sering didengari dari siri-siri pengajian seperti kuliah agama, khutbah jumaat dan sebagainya. Jangan takut untuk berkata yang benar walaupun ia pahit. Kata-kata ulama’ ini mampu memberi perangsang kuat untuk terus berada di medan ilmiah. Pengajian-pengajian ilmiah yang berkisar mengenai ilmu tauhid,fekah dan tasawuf seharusnya menjadi agenda utama dalam memastikan masyarakata terus berada pada jalannya yang lurus.

Tiada kata-kata yang keluar tanpa ujian. Ujian ini bukan hanya sekadar ujian fizikal, malah yang lebih berat adalah ujian nafsu. Kehidupan yang begitu beharga tidak akan muncul tanpa sejambak ujian. Ujian tidak dapat lari dari kesusahan. Begitu juga, apabila menempuh ujian peperiksaan wajib melalui fasa kegigihan belajar.

Ujian ini tidak akan mampu dilalui tanpa kesabaran dan ketabahan. Kesabaran dan ketabahan akan muncul apabila tali ikatan dengan Allah diikat rapi. Hablum minnallah adalah asas kekuatan. Perjuangan ini tidak akan mampu ditempuh tanpa kekuatan dan pertolongan daripada Allah s.w.t. Mohonlah pertolongan daripada Allah s.w.t dengan sabar dan solat. Apabila kita mendirikan solat, maka yakinlah bahawa Allah s.w.t tidak akan membiarkan hambanya berada bersendirian. Allah s.w.t bersama dengan orang yang sabar.

Pasakkan keyakinan dalam hati, teguhkan pengharapan, insyaallah keadaan akan berubah dari kepahitan kepada kemanisan, walaupun berada di dalam kesusahan. Kepahitan bukan untuk memusnah, tetapi merupakan penawar yang mujarab. Setiap manusia akan menempuh cabaran dan dugaan. Hanya mereka yang sabar dan solat sahaja akan berjaya menempuhinya.